MySeLf

Tuesday 23 February 2016

SKRIP PENGACARAAN HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN

SKRIP PENGACARAAN MAJLIS PERASMIAN ANUGERAH KECEMERLANGAN  SK CLIFFORD
TAHUN 2013

Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia Dr. Haji Jurij bin Haji Jalaludin,  Setiausaha Sulit kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan diiringi oleh Tuan Guru Besar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Clifford.
Gadis Kuala menjual bingka,
Mengambil pesanan bersama juadah;
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan iaitu lagu Negaraku diikuti dengan lagu Sekolah.  Kepada semua hadirin, dipohonkan untuk berdiri bagi menghormati kedua-dua lagu tersebut.

-                                                                   -  NYANYIAN LAGU NEGARAKU DAN LAGU SEKOLAH -
Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas nyanyian itu tadi. Dipersilakan kepada semua hadirin.

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum wbh, salam sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam Perak Amanjaya
Melayang serindit di atas permatang,
Merbau berkicau di hujung muara;
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara.

Yang Berbahagia Doktor Haji Jurij bin Haji Jalaludin,
Setiausaha Sulit kepada
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan
Merangkap Pengetua SMA Ad-Diniah Al-Islamiah, Padang Rengas

Yang Berusaha Encik Sukeri bin Ngah Abdullah
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Clifford,

Yang Berusaha Puan Rashadah binti Othman,
Penolong Kanan Pentadbiran,

Yang Berusaha Puan Zaleha binti Abdul Hamid,
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,


Yang Berusaha Encik Adnan bin Ismail,
Penolong Kanan Kokurikulum,

Yang Berusaha Puan Hashimah binti Hussein
Penolong Kanan Pendidikan Khas,

Yang Dihormati Encik Kamaruddin bin Sulaiman
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru
Sekolah Kebangsaan Clifford,

Barisan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru,

Rakan-rakan guru, staf-staf Sekolah Kebangsaan Clifford,
tuan-tuan dan puan-puan para hadirin,

Seterusnya anak-anak didik para penerima anugerah yang dikasihi sekalian.

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiring restu Ilahi.


Majlis mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Clifford tahun 2013.  Terima kasih diucapkan kepada tetamu kehormat Yang Berbahagia Doktor Haji Jurij bin Haji Jalaludin, Setiausaha Sulit kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan kerana sudi memeriahkan majlis kami pada hari ini. 

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,

Marilah kita bersama-sama seiring dan sederap melangkah dalam menjayakan Majlis Anugerah Kecemerlangan ini.  Setinggi-tinggi kesyukuran majlis panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izin kasihnya dapat kita berhimpun di sini dengan penuh kedamaian bagi memberi pengiktirafan kepada murid-murid yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan.  Sesungguhnya kecemerlangan murid-murid hari ini membuktikan kesungguhan dan pengorbanan yang terjalin antara semua pihak serta iltizam yang tinggi seluruh warga pendidik dan pentadbiran SK Clifford untuk membangunkan kegemilangan pendidikan di sekolah ini.

Lebat kemiri pohonnya rendah,
Dahan terikat tali perkasa;
Sepuluh jari kami menadah,
Memohon berkat Yang Maha Esa.

Bagi memulakan dan memuliakan majlis, marilah sama-sama kita menadah tangan bermunajat, memohon berkat agar segala urusan mendapat rahmat.  Untuk itu, majlis mempersilakan
Al-fadhil Ustaz Haji Ahmad Hisham bin Zainal, untuk memimpin bacaan  doa. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

-                                                                                                                                          - BACAAN DOA -

Majlis mengucapkan terima kasih kepada Al-fadhil Ustaz Haji Ahmad Hisham bin Zainal atas bacaan doa sebentar tadi.

Bukan rumput sebarang rumput,
Rumput penghias tepi halaman;
Bukan jemput sebarang jemput,
Jemput memohon kata aluan.

Tirai ucapan pada petang ini, dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dihormati Encik Kamaruddin bin Sulaiman, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Clifford. Dengan sukacitanya majlis mempersilakan.

-                                                                                                             -  UCAPAN ALU-ALUAN YDP PIBG -

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada  Yang Dihormati Encik Kamaruddin bin Sulaiman, atas kesudian menyampaikan ucapan sebentar tadi.

Pergi ke kota beli selasih,
Sayang si dara buat halwa;
Berilah kata simpulan kasih,
Sulamkan mesra satukan jiwa.

Seterusnya majlis dengan segala hormatnya, mempersilakan Encik Sukeri bin Ngah Abdullah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Clifford untuk menyampaikan ucapan beliau.  Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.

-                                                                                                                               -   UCAPAN GURU BESAR -

Demikian tadi ucapan dan laporan yang disampaikan oleh Tuan Guru Besar, Encik Sukeri bin Ngah Abdullah.  Jutaan terima kasih, majlis ucapkan.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Kini tibalah kita kepada acara yang dinantikan iaitu ucapan daripada tetamu kehormat. Bertonggak adat,  “yang datang disambut, yang pergi diringi”, maka majlis dengan penuh takzim mempersilakan   Yang Berbahagia Doktor Haji Jurij bin Jalaluddin, Setiausaha Sulit Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, merangkap Pengetua SMA Ad-Diniah Al-Islamiah, Padang Rengas untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Clifford bagi tahun 2013. Dengan segala hormatnya, majlis mempersilakan. 

-                                                                                                                                       -   UCAPAN PERASMI -

Pohon sena tepi perigi,
Tepi paya si pohon jambu;
Hadirmu laksana suria pagi,
Menyinar maya tak pernah jemu.

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih atas ucapan dan kesudian Yang Berbahagia Doktor Haji Jurij bin Haji Jalaluddin menyempurnakan majlis perasmian sebentar tadi.

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Tegak bangsa kerana budi,
Runtuh budi hilanglah bangsa.

Sebagai tanda terima kasih dan kalungan budi, majlis mempersilakan Encik Sukeri bin Ngah Abdullah untuk menyampaikan cenderamata tanda kenangan kepada Yang berbahagia Doktor Haji Jurij bin Haji Jalaluddin.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Guru Besar kerana sudi menyempurnakan majlis.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Sayur maman buat bekalan,
Masak bubur puteri rupawan;
Persembahan tarian kami sajikan,
Semoga terhibur hati yang rawan.

Memulakan pentas acara pada petang ini, dipersilakan anak-anak kecil daripada Pra Sekolah, untuk mempersembahan tarian selamat datang. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

-          PERSEMBAHAN TARIAN

Majlis merakam ucapan terima kasih atas persembahan itu tadi.

Kini, tibalah kita ke acara penyampaian hadiah.. Bagi menyempurnakan upacara ini, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Dihormati Encik Yogalingam a/l Karuppan, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Kebangsaan Clifford diiringi oleh Encik Adnan bin Ismail, Penolong Kanan Kokurikulum untuk menyampaikan hadiah kepada murid-murid yang telah hadir ke sekolah tanpa gagal sepanjang tahun 2013 ini. 

-          PENYAMPAIAN HADIAH KEDATANGAN PENUH
Seterusnya majlis menjemput penerima hadiah Peningkatan Kelas Nur (Pemulihan). Dijemput…
-          PENYAMPAIAN HADIAH KELAS NUR
Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada  Yang Dihormati Encik Yogalingam a/l Karuppan atas kesudian menyampaikan hadiah sebentar tadi.

Majlis berhenti rehat seketika.  Untuk itu, marilah sama-sama kita saksikan persembahan yang berikutnya oleh anak-anak yang sangat comel dan berbakat dengan Tarian Pop Yeh yeh mereka.  Dengan sukacitanya dipersilakan.

-          PERSEMBAHAN TARIAN POP YEH YEH

Sekalung terima kasih kepada anak-anak pra sekolah dan guru-guru dan pembantu pengurusan murid yang terlibat melatih pasukan tarian ini.

Penyampaian anugerah diteruskan lagi dengan penganugerahan terbaik. Untuk itu, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Dihormati Encik Kamaruddin bin Sulaiman, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru diiringi oleh Puan Zaleha binti Abdul Hamid, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk menyempurnakan upacara penyampaian hadiah kepada murid-murid yang mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2013 yang lalu. Dengan sukacitanya, dipersilakan.

-          PENYAMPAIAN HADIAH KEDUDUKAN TERBAIK 1-6
Dijemput…
-          PENYAMPAIAN HADIAH PENINGKATAN PRESTASI TAHUN 4-6
Dijemput…
-          PENYAMPAIAN HADIAH KEDUDUKAN TERBAIK PENDIDIKAN KHAS
Dijemput…
Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Kamaruddin bin Sulaiman kerana sudi menyampaikan hadiah sebentar tadi.

Majlis pada petang ini diteruskan dengan upacara penyampaian hadiah kepada murid-murid yang mendapat hadiah mata pelajaran terbaik tahun 2013. Untuk itu, majlis dengan penuh takzimnya, mempersilakan Yang Berusaha Encik Sukeri bin Ngah Abdullah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Clifford diringi oleh Puan Rashadah binti Othman, Penolong Kanan Pentadbiran untuk menyampaikan hadiah kepada para penerima. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.


-          PENYAMPAIAN HADIAH MATA PELAJARAN TERBAIK TAHUN 1-6

Dijemput…

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Encik Sukeri bin Ngah Abdullah kerana sudi menyempurnakan upacara sebentar tadi.

Sebagai juadah pelengkap persembahan, kami hidangkan persembahan I-Band oleh murid-murid Tahap Dua Sekolah Kebangsaan Clifford dengan lagu mereka yang dipopularkan oleh penyanyi cilik dari seberang iaitu lagu yang bertajuk “ Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang”. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

-          PERSEMBAHAN I-BAND

Sebagai persembahan terakhir pada petang ini, sekali lagi majlis mempersilakan kumpulan I-Band di bawah pimpinan Encik A. Manaf bin Mustuki dan Encik Aisyamudin bin Tajuddin untuk membuat persembahan. Kali ini mereka akan menyampaikan sebuah lagu yang dipopularkan oleh Mark Adam iaitu, “Pencuri”…dipersilakan.

-          PERSEMBAHAN I-BAND

Jutaan terima kasih kepada kumpulan I-Band dengan persembahan yang sangat menarik sebentar tadi.  Persembahan ini dipanggil I-Band kerana ahlinya membuat persembahan dengan menggunakan alat-alat muzik akustik dan I-pad. Tahniah kepada guru-guru yang telah melatih mereka.

Mengakhiri majlis penyampaian anugerah pada petang ini, dipersilakan dengan segala hormatnya Encik Sukeri bin Ngah Abdullah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Clifford untuk menjemput dan mengiringi Yang Berbahagia Doktor Haji Jurij bin Jalauddin naik ke pentas bagi menyempurnakan majlis penganugerahan kepada Tokoh J-Qaf, Tokoh Kokurikulum dan Tokoh Akademik Sekolah Kebangsaan Clifford.  Majlis mempersilakan dengan segala hormatnya.

-          PENYAMPAIAN ANUGERAH TOKOH
-          Tokoh J-Qaf
-          Tokoh Kokurikulum

-          Tokoh Akademik

Majlis merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berbahagia Doktor Haji Jurij bin Haji Jalaluddin atas kesudian menyempurnakan upacara penyampaian hadiah sebentar tadi.





Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua murid yang menerima hadiah pada hari ini.  Semoga kejayaan ini akan menjadi titik tolak dan pendorong untuk anda semua terus cemerlang dalam pendidikan.

Hadirin sekalian, kita telah pun berada di hujung acara.
Dari mana asalnya, usah di usul,
Molek budinya menambat hati;
Dua tiga bicara salah tersasul,
Jangan dibawa ke dalam hati.
Bunga dedap di atas para,
anak dusun pasang pelita;
kalau tersilap tutur bicara,
jemari disusun maaf dipinta.

Bintang barat terbitnya petang,
Bintang timur terbitnya pagi;
Jika tidak melarat panjang,
Tersisa umur bertemu lagi.

Kami  bagi pihak ahli jawatankuasa Majlis Anugerah Kecemerlang tahun 2013 merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dalam menjayakan majlis pada hari ini.

Sehingga bertemu lagi, wabillahitaufik wal hidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
















1 comment:

  1. Review of the Best online casino site - Choegocasino
    Choegocasino 카지노 is an online gambling 메리트 카지노 주소 platform that was established worrione in 2003. The site was founded in 2019. With more than 400,000 players, you can bet on

    ReplyDelete